Penghaiwanan Warga Palestin
Demi memudahkan urusan mengusir dan menghalau warga Palestin dari Semenanjung Gaza, segala jenis alasan diberi dan propaganda yang menelan jutaan ringgit dilaksanakan. Namun,...
Sebagai seseorang yang berumahtangga atau berkeluarga, antara “kecemasan” yang paling genting adalah saat warga perempuan di dalam rumah (termasuk kanak-kanak perempuan) melihat kelibat seekor lipas, apatah lagi kalau ada dua atau tiga ekor. Maka mereka akan sekuat hati meminta bantuan jejaka yang ada dirumah, kalau ayahnya tak ada, anak lelaki pun jadilah.
“Tolong! Tolong! Ada lipas”
“Mana? Mana?”, tanya jejaka yang gagah lagi perkasa
“Belakang baju”, mereka menjerit secara berjemaah bagaikan korus kumpulan nashid
Lalu jejaka yang gagah lagi perkasa berumur 10 tahun itu memulakan operasi mencari dan membunuh. Diselaknya timbunan baju yang baru dilipat, “Tak apa, kembur saja, nanti mama lipat balik”, kata ibunya kepada sang jejaka. Begitu risau dan takut kepada lipas sehingga kerja yang dibuat dalam sejam lamanya sanggup dibinasakan demi mencapai ketenangan jiwa.
Misi mencari lipas oleh jejaka tersebut berjaya, lalu dimulakan misi membunuh lipas menggunakan selipar Totseng. “Tak apa, bunuh saja, nanti mama cuci baju itu balik”, tegas ibunya lagi. Lalu Abu menghayun tangannya bagaikan pahlawan tentera Uthmaniyah yang sedang berperang dengan tentera Byzantine, hayunannya tepat ke sasaran, lalu wanita-wanita yang berada dalam keadaan cemas tadi menarik nafas lega sambil memuji keberanian Abu yang baru sahaja meninggalkan kerja rumah demi membantu ibu dan adik-beradiknya yang lain, Abu merasakan dirinya sungguh gagah perkasa dan penting dalam kehidupan keluarganya.
Sekarang, gantikan lipas dengan perkataan “warga Palestin”, gantikan pula wanita-wanita dengan warga Israel, gantikan Abu dengan IDF atau pasukan bersenjata Israel. Dari sini dapat kita lihat sentimen yang ditiupkan kedalam jiwa dan raga setiap rakyat negara durjana tersebut.
Rakyat Palestin diwarnakan dengan kata-kata kesat dan berbentuk kehaiwanan, lalu perkara ini menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan penduduk negara haram itu. Pada masa yang sama, seperti juga Abu yang melibas lipas tadi tanpa rasa bersalah, bahkan kegembiraan dan kebanggaan, begitu juga tentera Israel membunuh, kanak-kanak Palestin hatta di dalam buaian sekalipun dengan rasa bangga dan gembira.
Membunuh umat Palestin menjadi satu titik kebanggaan dan keberanian buat mereka, walaupun yang ditembak itu adalah bayi yang tidak berdosa, yang sedang didukung ibunya. Lalu peluru sekecil seruas jari kelingking, memecahkan tulang-tulang kaki bayi yang berusia dua bulan yang sedang digendong ibunya itu diraikan bersama-sama oleh sekumpulan tentera Zionis yang terlibat di dalam kejadian tersebut.

Ahli politik mereka pula, terutamanya Perdana Menteri penjajah, Benjamin Netanyahu, menyamakan warga Palestin dengan musuh ketat Bani Israil, iaitu Bangsa Amalek. Di dalam kitab suci Yahudi pula begitu ganas hukuman ke atas bangsa Amalek.
Pergilah serang orang Amalek, binasakanlah mereka dan hancurkanlah segala yang ada pada mereka. Jangan tinggalkan sesuatu apa pun. Bunuhlah semua lelaki, perempuan, kanak-kanak, bayi, lembu, domba, unta, dan keldai.”
1 Samuel 15:3
Maka tidak hairanlah kenapa Zionis tidak kisah langsung membunuh kanak-kanak, warga emas, wanita, dan sesiapa sahaja yang dituduh terlibat di dalam pergolakan tersebut. Mereka telah didodoikan dengan kebencian terhadap warga Palestin dan perkara itu didokong oleh Kitab Suci mereka.
Ini adalah contoh yang terbaik dalam konteks “menunggang agama”, sebab di dalam kitab suci Islam, Yahudi dan Kristian ada disebutkan Bani Israil, yang merupakan keturunan Nabi Ya’qub A.S. Namun, kebanyakan kalau bukan semua Zionis, dan pengasas negara haram itu sendiri seperti David Ben Gurion merupakan keturunan Eropah yang tiada kena mengena dengan keturunan Bani Israil itu sendiri.
Mengkhuatiri perkara ini, kerajaan Israel mengharamkan penjualan kit ujian DNA dan ujian DNA tanpa arahan bertulis dari mahkamah. Begitu mereka takut dengan sejarah mereka sendiri, namun, apabila menjarah hasil di bumi Palestin dan membantai mereka, sejarah Bani Israil dari Zaman Nabi Ya’qub A.S. diungkit dan dijulang setinggi-tingginya.
Begitu jijiknya usaha Zionis yang rata-ratanya berkulit putih untuk menghidupkan kembali penjajahan ala Barat seperti pada abad ke-19. Jangan kita biarkan mereka menindas saudara kita di Palestin, walaupun sebesar biji kurma usaha kita, tetap kita laksanakan sebagai pejuang dan pahlawan umat.